Kementerian Pengangkutan (MoT) menafikan pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing, laporan Bernama.
“Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing.
“Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO),” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan media yang menimbulkan kekeliruan mengenai status penggunaan kenderaan jenis SUV untuk tujuan pendaftaran e-hailing.
Loke berkata pihaknya memahami kebimbangan dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali, dan memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada.
Sebelum ini, ada laporan media menyatakan bahawa SUV tidak lagi dibenarkan mendaftar untuk e-hailing. Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, yang dilaporkan berkata pengecualian SUV sebagai kenderaan yang diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu akan nasib sumber pendapatan mereka.
The post Tiada arahan hadkan penggunaan SUV untuk tujuan pendaftaran bagi perkhidmatan e-hailing – Loke appeared first on Paul Tan's Automotive News.