Jenama motosikal tempatan baru, AFAZ, yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 kini sudah bersedia untuk pelancaran model pertama mereka hujung bulan Oktober ini. Perkara ini diberitahu sendiri oleh Pengurus Besar dan Pengarah KMSB Motor Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim susulan satu teaser yang disiarkan dalam talian.
Apabila ditanya lebih lanjut berkenaan spesifikasi motosikal tersebut, beliau setakat ini cuma boleh menyatakan bahawa ia menggunakan asas daripada model kapcai Suzuki (mempunyai gear dan bukannya skuter), serta enjin yang berkapasiti 115 cc.
Meskipun model asas itu sudah pun ditawarkan di negara lain, AFAZ membuat pelaburan jutaan ringgit untuk penambah baikan serta pelarasan pada motosikal itu, supaya ia dapat memuaskan pengguna dan melepasi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jeffrey memberitahu lagi, walaupun AFAZ ini muncul sebagai pengeluar motosikal tempatan, harganya nanti bukanlah berada di tahap yang murah, tetapi dijadikan lebih bersesuaian dengan kualiti serta prestasi yang dibawa. Sejauh mana nilainya, sama ada berbaloi atau tidak, bersama kita nantikan pelancarannya.
Untuk tahun ini, AFAZ cuma akan melancarkan satu sahaja model, tetapi kemudiannya akan diikuti oleh beberapa lagi model tahun hadapan, termasuk kapcai yang berkapasiti 150 cc. Jeffrey memberi gambaran, hanya bahagian enjin sahaja yang diambil daripada Suzuki untuk model 150 cc itu, sementara bahagian lain semuanya dibangunkan oleh AFAZ.
Pengeluaran motosikal oleh AFAZ ini turut membantu bahagian lain dalam ekosistem industri motosikal Malaysia, dengan untuk tempoh awal ini akan menggunakan 40% komponen tempatan, sementara pada tahun hadapan ia akan ditingkatkan lagi kepada sehingga 70%.
The post AFAZ bakal lancar kapcai 115 cc asas Suzuki hujung bulan ini, apa lagi yang diketahui setakat ini? appeared first on Paul Tan's Automotive News.